MAA Takaful Kini Bersama Zurich Insurance Group:
Zurich Insurance Company Ltd (ZIC) mengambil alih sepenuhnya MAA Takaful Bhd menerusi satu urus niaga bernilai RM525 juta (AS$134.6 juta) Ia susulan pemeteraian Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bersyarat pagi ini bagi mengambil alih 100 peratus saham MAA Takaful dari MAA Group Bhd (MAAG) dan Solidarity Group Holding BSC (Solidarity). Syarikat itu dalam kenyataannya di Hong Kong berkata, Zurich melunaskan RM400 juta pada akhir transaksi manakala bakinya dibayar pada ulang tahun ketiga di akhir transaksi, sejajar terma dan syarat SPA, tertakluk kepada pelarasan. Katanya, MAAG ketika ini memiliki 75 peratus saham MAA Takaful manakala Solidarity yang berpangkalan di Bahrain menguasai baki 25 peratus pegangan dalam entiti itu. "MAAT adalah penyedia produk Takaful utama di Malaysia yang mencatatkan kira-kira RM528 juta dalam perolehan caruman kasar 2015. "Transaksi ini diluluskan Menteri Kewangan, namun ia masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham MAAG selain syarat penutupan yang lain, dengan transaksi penutupan dijangka berlaku dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh penjualan," katanya. Syarikat itu berkata, transaksi itu dijangka tidak akan menjejaskan kontrak takaful sedia ada anak syarikat baharunya itu dan Zurich akan menyambung perkhidmatan kepada pelanggan MAA Takaful. "Kontrak mereka akan kekal sah dengan semua kewajipan akan ditunaikan sehingga terma tamat," katanya.
Lihat Video Di Bawah Untuk Berita Selanjutnya:
0 comments:
Post a Comment